4: Diagnosa Penyakit Buah Pinggang

Pepatah lama "Jika melentur buluh, biarlah dari rebungnya" sesuai untuk rawatan penyakit buah pinggang. Penyakit buah pinggang kronik tidak dapat disembuhkan jika tidak dirawat dan boleh mengakibatkan penyakit buah pinggang tahap akhir. Seperti yang dibincangkan dalam bab-bab sebelum ini, seseorang yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik mungkin tidak menunjukan sebarang gejala. Walau bagaimanapun jika diagnosa penyakit buah pinggang dibuat awal, rawatan perubatan yang sesuai boleh diberikan dan penyakit buah pinggang tahap akhir boleh ditangguhkan atau diperlahankan. Jadi sekiranya masalah buah pinggang disyaki, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan segera dan diagnosa awal.

Siapa yang patut mendapatkan pemeriksaan buah pinggang? Siapa yang berisiko tinggi untuk mengidap masalah buah pinggang?

Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah buah pinggang, tetapi risikonya lebih tinggi jika:

  • Terdapat gejala penyakit buah pinggang
  • Mengalami kencing manis (diabetes)
  • Sukar untuk mengawal tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Sejarah keluarga berpenyakit buah pinggang, diabetes dan hipertensi
  • Penggunaan tembakau kronik, obesiti dan / atau orang tua (di atas 60 tahun)
  • Pengambilan kronik ubat tahan sakit, seperti ubat-ubatan anti-radang nonsteroid seperti ibuprofen, naproxen
  • Kecacatan kongenital saluran kencing

Penyaringan dalam individu berisiko tinggi membantu dalam pengesanan awal dan diagnosis penyakit buah pinggang.

Bagaimana untuk mendiagnosa masalah buah pinggang? Ujian apakah biasanya dilakukan?

Untuk mendiagnosa masalah buah pinggang yang berbeza, doktor akan mengenalpasti dengan mengambil sejarah terperinci, memeriksa pesakit dengan teliti, periksa tekanan darah dan kemudiannya menasihatkan ujian yang sesuai. Ujian yang dilakukan secara rutin dan paling berguna termasuk ujian air kencing, ujian darah dan ujian radiologi.

Peringkat awal penyakit buah pinggang kronik kebiasaan tiada gejala. Cara kesan hanya dengan ujian makmal.

Ujian Air kencing

1. Ujian Air kencing

Ujian air kencing yang berbeza memberi petunjuk berguna untuk diagnosa pelbagai jenis penyakit buah pinggang.

Urinalisa rutin

  • Ujian diagnostik yang mudah, murah dan sangat berguna.
  • Abnormaliti yang dilihat dalam urinalisa rutin menyediakan petunjuk diagnostik yang penting tetapi urinalisa norma tidak semestinya mengetepikan asas penyakit buah pinggang.
  • Kehadiran protein dalam air kencing (proteinuria) dilihat dalam pelbagai penyakit buah pinggang. Ia tidak boleh diabaikan. Kehadiran protein dalam air kencing boleh menjadi symptom yang pertama, yang paling awal dan satu-satunya tanda amaran penyakit buah pinggang kronik (dan juga penyakit jantung). Contohnya proteinuria adalah tanda pertama penglibatan buah pinggang dalam diabetes.
  • Kehadiran sel-sel nanah dalam urin mungkin menunjukkan adanya jangkitan saluran kencing.
  • Kehadiran protein dan sel darah merah menjadi petunjuk diagnostik untuk keradangan buah pinggang (glomerulonephritis).

Mikroalbuminuria

Mikroalbuminuria bermakna bahawa sejumlah kecil protein hadir dalam air kencing. Ujian ini memberikan petunjuk pertama dan paling awal untuk diagnosa penglibatan buah pinggang dalam kencing manis. Pada peringkat ini, penyakit ini mungkin berpotensi pulih dengan rawatan yang betul dan teliti.

Ujian air kencing yang lain

  • 24 jam air kencing untuk protein: Pada pesakit dengan kehadiran protein dalam air kencing, ujian ini diperlukan untuk menentukan jumlah sebenar protein hilang dalam 24 jam. Ujian ini berguna untuk menilai keparahan penyakit dan juga kesan rawatan terhadap kehilangan protein.
  • Kultur dan ujian sensitiviti : Ujian ini memberikan maklumat mengenai jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan saluran kencing, dan pilihan antibiotik yang sesuai untuk rawatannya. Ia mungkin mengambil 48-72 jam bagi mendapatkan keputusan ujian ini.
  • Ujian air kencing untuk bacilli fast asid: Ujian ini berguna untuk mendiagnosa tuberkulosis saluran kencing.
Ujian air kencing rutin amat penting untuk pengesanan awal dan diagnosa penyakit buah pinggang

Ujian Darah

2. Ujian Darah

Pelbagai ujian darah diperlukan untuk menentukan diagnosa yang sesuai bagi penyakit buah pinggang yang berbeza.

  • Kreatinin dan Urea

    Tahap kandungan kreatinin dan urea dalam darah mencerminkan fungsi buah pinggang. Kreatinin dan urea adalah dua produk sampingan yang biasanya dikeluarkan dari darah oleh buah pinggang. Apabila fungsi buah pinggang merosot, tahap kreatinin dan urea dalam darah meningkat. Nilai serum normal kreatinin adalah 0.9 hingga 1.4 mg/dl dan nilai normal urea nitrogen darah ialah 7 hingga 20 mg/dl. Nilai yang lebih tinggi menunjukan kerosakan kepada buah pinggang. Tahap kreatinin adalah panduan untuk tahap fungsi buah pinggang yang lebih dipercayai berbanding dengan tahap urea nitrogen darah .

  • Hemoglobin

    Buah pinggang yang sihat membantu dalam pengeluaran sel darah merah yang mengandungi hemoglobin. Apabila hemoglobin rendah, ia dipanggil anemia. Anemia adalah tanda-tanda penyakit buah pinggang kronik yang penting. Walau bagaimanapun anemia boleh berlaku dengan kerap pada penyakit lain. Jadi anemia bukanlah sesuatu ujian yang spesifik untuk penyakit buah pinggang.

  • Ujian-ujian darah lain

    Ujian darah lain yang sering dilakukan pada pesakit buah pinggang termasuk: tahap gula di dalam darah, serum albumin, kolesterol, elektrolit (natrium, kalium dan klorida), kalsium, fosforus, bikarbonat, titer ASO, ujian saringan jangkitan virus, ujian saringan penyakit auto-imun dan lain-lain.

Serum kreatinin merupakan ujian darah rutin yang diguna untuk saringan dan untuk memantau penyakit buah pinggang

Ujian Radiologi

3. Ujian Radiologi

  • Ultrasound buah pinggang

    Ultrasound buah pinggang adalah ujian yang mudah, berguna, cepat dan selamat (tiada pendedahan radiasi) yang memberikan maklumat penting seperti saiz buah pinggang dan kehadiran sista(cyst), batu karang dan tumor. Ultrasound juga boleh mengesan penyumbatan aliran kencing dalam saluran kencing. Pada tahap lanjut penyakit buah pinggang kronik atau penyakit buah pinggang peringkat akhir, kedua-dua saiz buah pinggang boleh didapati kecil.

  • Sinar-X perut (abdomen)

    Ujian ini digunakan untuk mendiagnosa batu karang yang mengandungi kalsium di sistem saluran kencing.

  • Urografi intra vena (IVU)

    IVU (juga dikenali sebagai intra venous pyelography-IVP) adalah ujian Xray khusus. Dalam ujian ini, pewarna jenis iodin radio opaq (cecair yang mana boleh dilihat pada filem X-ray) disuntik ke dalam vena di lengan. Pewarna ini kemudian melepasi buah pinggang dan disingkirkan ke dalam urin. Saluran kencing (buah pinggang, ureter dan pundi kencing) menjadi radio-opaq, dan ini membolehkan seluruh saluran kencing dilihat. Satu siri gambar X-ray diambil pada selangan masa tertentu yang menggambarkan secara komprehensif anatomi sistem urin. IVU boleh mendedahkan masalah seperti batu karang, halangan, tumor dan kelainan struktur dan fungsi buah pinggang.

    Dalam kes CKD lanjutan, IVU biasanya tidak digalakkan kerana pewarna yang disuntik boleh merosakkan buah pinggang yang sudah kurang berfungsi. Pada kegagalan buah pinggang, perkumuhan pewarna semasa ujian mungkin tidak mencukupi. Ujian ini juga tidak disyorkan ketika hamil. Dengan kehadiran ultrasound dan CT scan, ujian ini jarang digunakan pada masa kini.

Ujian-ujian saringan yang paling penting untuk penyakit buah pinggang adalah urinalisa, serum kreatinin dan ultrasound buah pinggang

  • ‘Voiding cystourethrogram’ (VCUG)

Voiding cystourethrogram - VCUG (sebelum ini dikenali sebagai Micturating cystourethrogram - MCU) ujian yang paling biasa digunakan dalam penilaian jangkitan saluran kencing pada kanak-kanak. Dalam ujian X - ray khas ini, di bawah keadaan steril, pundi kencing dipenuhi dengan medium kontras melalui kateter air kencing. Selepas pundi kencing dipenuhi, kateter urin dikeluarkan dan pesakit diminta untuk membuang air kecil. X-ray diambil pada selangan masa ketika membuang air kecil bagi menunjukkan garis luar pundi kencing dan uretra. Ujian ini membantu untuk mendiagnosa aliran balik urin ke ureter, dan sehingga ke buah pinggang (dikenali sebagai vesicoureteric reflux VUR) serta mengenalpasti kelainan struktur pundi kencing dan uretra.

  • Ujian radiologi lain

Dalam keadaan khas untuk diagnosa penyakit buah pinggang tertentu, ujian lain seperti CT scan buah pinggang dan saluran kencing, MRI buah pinggang, kajian radionuklear, angiografi buah pinggang, antegrade dan retrograde pyelografi dan sebagainya boleh digunapakai.

Ultrasound buah pinggang adalah ujian yang mudah dan selamat untuk menilai saiz, bentuk, dan lokasi buah pinggang.

4. Ujian Khas Lain

Biopsi buah pinggang, sistoskopi dan urodinamik adalah ujian khas yang di perlu untuk diagnosa tepat mengenai masalah buah pinggang tertentu.

Biopsi Buah pinggang

Biopsi buah pinggang adalah ujian penting yang berguna dalam diagnosa tertentu penyakit buah pinggang seperti glomerulonephritis,penyakit tubulointerstitial tertentu dan sebagainya.

Apakah biopsi buah pinggang?

Semasa biopsi buah pinggang, sekeping kecil tisu buah pinggang dikeluarkan melalui jarum dan diperiksa di bawah mikroskop. Biopsi buah pinggang dilakukan untuk mendiagnosa keadaan penyakit buah pinggang tertentu, cth. glomerulonephritis dan penyakit tubuliterstitial tertentu, dsb.

Bilakah biopsi buah pinggang dinasihatkan?

Dalam penyakit buah pinggang tertentu, sejarah terperinci, pemeriksaan fizikal dan ujian rutin tidak dapat menentukan diagnose dengan tepat. Dalam kes ini, biopsi buah pinggang boleh memberi maklumat tambahan, yang mana boleh menentukan diagnosis dengan betul.

Bagaimanakah biopsi buah pinggang membantu?

Biopsi buah pinggang menentukan diagnosis tertentu penyakit buah pinggang yang tidak dapat dijelaskan, cth. glomerulonephritis dan tubulointerstitial nephritis, dan sebagainya. Dengan maklumat ini, pakar nefrologi dapat merancang strategi rawatan berkesan dan panduan kepada pesakit dan keluarga mereka tentang tahap penyakit.

Dengan teknik mana biopsi buah pinggang dilakukan?

Kaedah yang paling biasa adalah melalui biopsi jarum perkutaneus (biasanya dilakukan dalam suite radiologi), di mana jarum berongga dimasukkan melalui kulit ke dalam buah pinggang. Satu lagi kaedah yang jarang digunakan adalah biopsi terbuka yang memerlukan pembedahan (dilakukan di bilik bedah).

Biopsi buah pinggang adalah ujian yang dilakukan untuk menentukan diagnosis penyakit buah pinggang tertentu, glomerulonefritis , penyakit tubuliterstitial tertentu, dll

Bagaimanakah biopsi buah pinggang dilakukan?

  • Pesakit dimasukkan ke hospital dan mendapatkan persetujuannya.
  • Sebelum biopsi perlu untuk memastikan bahawa tekanan darah dan ujian pembekuan darah berada dalam keadaan normal. Ubat yang digunakan untuk pencegahan pembekuan darah (cth. aspirin dan clopidrogel) disyorkan untuk dihentikan sekurang-kurangnya 1- 2 minggu sebelum biopsi.
  • Ultrasound atau CT scan dilakukan untuk mengetahui kedudukan buah pinggang dan untuk menentukan tapak biopsi yang tepat.
  • Pesakit diminta meniarap - pada perutnya dengan abdomen disokong oleh bantal atau tuala. Pesakit terjaga sepenuhnya semasa prosedur. Untuk kanak-kanak kecil, biopsi buah pinggang dilakukan di bawah anestesia umum.
  • Selepas pembersihan kulit, tapak biopsi itu dikebaskan dengan anestesia tempatan untuk mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan.
  • Dengan menggunakan jarum biopsi berongga, 2 atau 3 potongan kecil seperti benang kecil diperolehi dari buah pinggang. Spesimen ini kemudiannya dihantar kepada ahli patologi untuk pemeriksaan histopatologi.
  • Selepas biopsi, tapak biospi di tekanan untuk mencegah pendarahan. Pesakit disarankan untuk baring di atas katil selama 6-12 jam dan biasanya dibenarkan pulang pada hari berikutnya.
  • Pesakit dinasihatkan untuk mengelakkan kerja berat atau bersenam sekurang-kurangnya 2-4 minggu selepas prosedur biopsi.

Adakah terdapat risiko kepada biopsi buah pinggang?

Seperti apa-apa prosedur, komplikasi boleh berlaku pada beberapa pesakit selepas biopsi buah pinggang. Kesakitan atau ketidakselesaan yang ringan di atas tapak biopsi dan kencing kemerah-merahan sekali atau dua kali adalah biasa, tetapi biasanya ia akan berhenti dengan sendiri. Dalam kes-kes yang jarang terjadi di mana pendarahan berterusan, transfusi darah mungkin diperlukan. Dalam keadaan melampau dan sangat jarang berlaku dimana pendarahan yang berlarutan, rawatan embolisme arteri dilakukan atau pembedahan mengeluarkan buah pinggang yang berdarah tanpa berhenti mungkin diperlukan. Kadangkala specimen buah pinggang yang diperolehi mungkin tidak mencukupi untuk diagnosis (kira-kira 1 dalam 20). Biopsi berulang mungkin diperlukan dalam kes seperti itu.

Biopsi buah pinggang biasanya dilakukan dengan menggunakan jarum berongga nipis pada pesakit yang sedar sepenuhnya