19: Penyakit Batu Karang

Penyakit batu karang adalah penyakit urologi yang sangat biasa. Batu karang boleh menyebabkan kesakitan yang paling teruk, tetapi kadang-kadang batu karang boleh wujud dengan senyap tanpa sebarang gejala. Penyakit batu karang boleh menyebab jangkitan saluran kencing dan boleh merosakkan buah pinggang jika tidak dirawat secukupnya. Jika batu karang berlaku, ianya boleh berulang lagi dan ini merupakan perkara yang biasa. Jadi, pemahaman, pencegahan dan penjagaan penyakit batu karang adalah penting.

Apa itu batu karang?

Batu karang adalah kristal keras yang terbentuk di dalam buah pinggang atau saluran kencing. Peningkatan kepekatan hablur atau zarah kecil kalsium, oksalat, urate atau fosfat dalam air kencing bertanggungjawab untuk pembentukan batu karang. Berjuta-juta kristal bahan-bahan ini dalam air kencing beragregasi, secara beransur-ansur meningkat dalam saiz, dan selepas masa yang panjang, membentuk batu. Biasanya air kencing mengandungi bahan yang menghalang atau mencegah pengagregatan kristal. Kekurangan bahan inhibitor batu menyumbang kepada pembentukan batu karang. Urolithiasis adalah istilah perubatan bagi batu karang. Perlu diingatkan bahawa komposisi batu hempedu (yang terdapat dalam pundi hempedu) dan batu karang adalah berbeza.

Apakah saiz, bentuk dan lokasi batu karang?

Batu karang berbeza-beza mengikut saiz dan bentuknya. Mereka boleh lebih kecil daripada sebutir pasir atau boleh sebesar bola tenis. Bentuk batu mungkin bulat atau bujur dengan permukaan licin, atau mereka boleh tidak teratur atau bergerigi dengan permukaan kasar. Batu karang dengan permukaan licin menyebabkan kesakitan ringan dan peluang di keluarkan secara semula jadi adalah tinggi. Sebaliknya, batu karang yang mempunyai permukaan kasar yang tidak teratur menyebabkan lebih kesakitan dan kurang berkemungkinan keluar sendiri. Batu karang boleh berlaku di mana-mana dalam sistem kencing tetapi berlaku lebih kerap di buah pinggang dan kemudian turun ke ureter, kadang-kadang tersangkut di kawasan sempit ureter.

Batu karang dalam saluran kencing adalah penyebab utama kesakitan perut yang sangat kuat.

Jenis

Apakah jenis batu buah pinggang ?

Terdapat empat jenis batu karang utama:

  1. Batu Kalsium: Ini adalah jenis batu karang yang paling kerap, yang berlaku di sekitar 70 - 80% kes. Batu kalsium biasanya terdiri daripada kalsium oksalat dan kadang-kadang, kalsium fosfat. Batu kalsium oksalat agak sukar dilarutkan dengan rawatan perubatan. Batu kalsium fosfat terbentuk dalam air kencing alkali.
  2. Batu Struvite: Batu karang struvite (Magnesium ammonium phosphate) yang jarang berlaku (kira-kira 10 - 15%) dan hasil daripada jangkitan di buah pinggang. Batu struvite lebih kerap di kalangan wanita dan terbentuk hanya dalam air kencing alkali.
  3. Batu Asid Uric: Batu karang asid urik tidak begitu biasa (kira-kira 5 - 10%) dan lebih cenderung untuk membentuk apabila terdapat terlalu banyak asid urik dalam air kencing dan air kencing berasid. Batu karang asid urik boleh terbentuk pada orang dengan gout, yang makan diet protein haiwan tinggi, dehidrasi atau telah menjalani kemoterapi. Batu karang asid urik adalah radiolusen, jadi tidak dapat dikesan oleh sinar X.
  4. Batu Cystine: Batu karang cystine jarang berlaku dan berlaku dalam penyakit keturunan yang dipanggil cystinuria. Cystinuria dicirikan oleh tahap cystine yang tinggi dalam air kencing.

Apakah batu karang “staghorn”?

Batu karang “staghorn” adalah batu yang sangat besar, biasanya jenis struvite, menduduki sebahagian besar buah pinggang dan menyerupai tanduk rusa, oleh itu ia dipanggil “staghorn”. Batu karang staghorn menyebabkan sedikit atau tidak ada kesakitan, diagnosa biasa tidak diketahui dalam kebanyakan kes dan hasil akhirnya merosakkan buah pinggang.

Batu karang paling kerap berlaku di dalam buah pinggang dan ureter.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pembentukan batu karang?

Semua orang terdedah kepada pembentukan batu karang. Beberapa faktor yang meningkatkan risiko pembentukan batu karang adalah:

  • Pengurangan cecair - terutamanya kekurangan pengambilan air dan dehidrasi.
  • Sejarah keluarga batu karang.
  • Diet: memakan makanan yang tinggi dalam protein haiwan, natrium dan oxalate, tetapi rendah bagi buah-buahan sitrus kaya serat dan kalium.
  • 75% batu karang buah pinggang dan 95% batu karang pundi kencing berlaku pada lelaki. Lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun dan mereka yang gemuk adalah yang paling berisiko.
  • Seseorang yang terbaring atau tidak bergerak untuk tempoh yang lama.
  • Seseorang yang tinggal dalam cuaca yang panas dan lembap.
  • Jangkitan saluran kencing berulang dan halangan pada aliran air kencing.
  • Penyakit metabolik: hiperparatiroidisme, cystinuria, gout dll.
  • Menggunakan ubat-ubatan tertentu seperti diuretik dan antasid.
Pengambilan air yang berkurangan dan sejarah keluarga batu karang adalah dua faktor risiko yang paling penting untuk pembentukan batu karang.

Gejala

Apakah gejala batu karang?

Gejala-gejala batu karang mungkin berbeza-beza ada bergantung kepada saiz, bentuk, dan lokasi batu buah pinggang. Tanda-tanda biasa batu karang adalah:

  • Sakit perut.
  • Tiada gejala. Pengesanan batu buah pinggang secara tidak sengaja pada pemeriksaan kesihatan rutin atau semasa siasatan untuk keadaan yang tidak berkaitan. Batu karang yang tidak menyebabkan sebarang gejala dan dikesan secara tidak sengaja pada pemeriksaan radiologi dikenali sebagai "batu senyap."
  • Kekerapan buang air kecil dan perasan berterusan ingin membuang air kencing terdapat pada pesakit dengan batu karang pundi kencing.
  • Mual atau muntah.
  • Kehadiran darah dalam air kencing (hematuria).
  • Sakit dan / atau rasa pendih semasa kencing.
  • Jika batu karang pundi kencing tersekat pada pembukaan urethra, aliran air kencing berhenti tiba-tiba semasa buang air kecil.
  • Terkencing keluar batu karang.
  • Pada setengah keadaan, batu karang boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan saluran kencing berulang dan halangan saluran kencing, seterus menyebabkan kerosakan sementara atau kekal pada buah pinggang.

Ciri-ciri sakit perut akibat batu karang

  • Tahap serta lokasi kesakitan adalah berbeza-beza dari seseorang individu bergantung kepada jenis, saiz dan kedudukan batu karang dalam saluran kencing. Ingat, saiz batu itu tidak berkaitan dengan tahap kesakitan. Batu karang kasar berukuran kecil biasanya menyebabkan kesakitan yang lebih teruk daripada batu licin bersaiz lebih besar.
  • Kesakitan batu boleh bervariasi dari kesakitan pinggang ringan sehingga kesakitan yang terlalu kuat. Kesakitan yang jadi lebih teruk dengan perubahan postur badan dan pengerakan. Kesakitan boleh berlarut selama beberapa minit sehingga berjam-jam sebelum hilang. Kesakitan yang datang dan pergi adalah ciri pergerakan batu karang dalam ureter.
  • Kesakitan abdomen berlaku di sebelah mana batu karnag itu tersekat. Kesakitan klasik batu karang buah pinggang dan ureter adalah rasa sakit dari pinggang ke pangkal paha dan biasanya disertai dengan loya dan muntah.
  • Batu pundi kencing juga boleh menyebabkan kesakitan pada abdomen bawah dan sakit semasa kencing yang boleh dirasa sehingga di hujung zakar lelaki.
  • Ramai orang yang mengalami kesakitan abdomen yang teruk akibat batu karang sering mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Bolehkah batu buah pinggang merosakkan buah pinggang?

Ya. Batu karang di buah pinggang atau ureter boleh menghalang aliran air kencing dalam saluran kencing. Halangan sedemikian boleh menyebabkan dilatasi pada pelvis kencing dan calyces dalam buah pinggang. Dilatasi kronik yang serius akibat halangan boleh merosakan buah pinggang dalam jangka masa panjang pada setengah pesakit.

Sakit perut dan darah dalam air kencing kerap menunjukkan kehadiran batu karang.

Diagnosa

Diagnosa batu karang

Penyiasatan dilakukan bukan hanya untuk menentukan diagnosa batu karang dan mengesan komplikasi tetapi juga untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menggalakkan pembentukan batu karang.

Penyiasatan Radiologi

Ultrasound KUB: Ultrasound KUB adalah senang didapati, mudah dan kurang mahal dan sering digunakan untuk diagnosa batu karang dan mengesan kehadiran halangan.

X-ray KUB: Saiz, bentuk dan kedudukan batu buah pinggang boleh dilihat pada X-ray kencing-ureter-pundi kencing (KUB). KUB Xray adalah kaedah yang paling berguna untuk memantau kehadiran dan saiz batu sebelum dan selepas rawatan batu kalsium. Ia tidak boleh digunakan untuk mengenalpasti batu radiolucen seperti yang mengandungi asid urik.

Berhati-hati dengan "Batu Senyap" yang tidak menyebabkan kesakitan, tetapi kemungkinan besar menyebabkan kerosakan buah pinggang.

CT scan: CT scan untuk sistem kencing adalah sangat tepat dan kaedah diagnostik pilihan untuk mengenalpasti semua saiz batu dan untuk menentukan kehadiran halangan.

Urografi intravena (IVU): Kurang kerap digunakan, IVU sangat berkesan untuk mengesan batu dan halangan. Faedah utama IVU ialah ia memberikan maklumat mengenai fungsi buah pinggang. Struktur buah pinggang dan butiran mengenai dilatasi ureter lebih sesuai dinilai oleh ujian ini. Ia tidak berguna dan tidak boleh digunakan apabila bacaan serum kreatinin tinggi.

Penyiasatan makmal

Ujian air kencing: Ujian air kencing untuk mengesan jangkitan dan mengukur pH air kencing; pengumpulan air kencing 24 jam untuk mengukur jumlah air kencing sehari, kalsium, fosfor, asid urik, magnesium, oksalat, sitrat, natrium dan kreatinin.

Ujian darah: Ujian asas seperti “Full blood count”, serum kreatinin, elektrolit dan gula darah; dan ujian khas untuk mengenal pasti bahan kimia tertentu yang mempromosikan pembentukan batu seperti kalsium, fosforus, asid urik dan tahap hormon paratiroid.

Analisis batu: Batu karang yang terkencing keluar atau dikeluar dengan modaliti rawatan harus dikumpulkan untuk analisis. Analisis kimia batu karang dapat memberi maklumat mengenai komposisi batu dan boleh membantu dalam perancangan rawatan.

Untuk mendiagnoskan batu karang dalam saluran kencing, CT scan, sonography dan X ray adalah penyiasatan yang paling penting.

Pencegahan

Pencegahan batu karang

Batu kencing yang sering berulang-ulang boleh berlaku dalam sekitar 50 hingga 70% pesakit. Sebaliknya, dengan langkah berjaga-jaga yang betul dan rawatan, kadar pengulangan boleh dikurangkan kepada 10% atau lebih rendah lagi. Oleh itu, semua pesakit yang mengalami batu karang harus mengikuti langkah pencegahan.

Langkah am

Diet adalah faktor penting yang dapat menggalakkan atau menghalang pembentukan batu karang. Langkah-langkah umum yang berguna untuk semua pesakit dengan batu karang adalah:

1. Minum banyak cecair

  • Satu langkah yang mudah dan paling penting untuk mengelakkan pembentukan batu adalah untuk minum banyak air, minum banyak air dan minum banyak air. Minum 12 - 14 gelas (lebih daripada 3 liter) air sehari. Untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang hari, bawalah botol air dengan anda.
  • Jenis air apa yang harus diminum adalah satu dilema bagi kebanyakan pesakit. Tetapi ingat, untuk mengelakkan pembentukan batu karang, kuantiti air adalah lebih penting daripada kualiti air.
  • Untuk pencegahan batu karang, penghasilan jumlah air kencing yang mencukupi setiap hari adalah lebih penting daripada jumlah cecair yang diambil. Untuk memastikan anda minum air yang mencukupi, mengukur jumlah air kencing sehari. Ia perlu lebih dari 2 - 2.5 liter sehari.
  • Warna atau kepekatan air kencing mungkin menunjukkan berapa banyak air yang anda minum. Jika anda minum air yang cukup sepanjang hari, air kencing cair dan jelas. Air kencing cair menunjukkan kepekatan mineral yang rendah, dan menghalang pembentukan batu. Air kencing yang kuning gelap serta pekat bermakna pengambilan air yang tidak mencukupi.
  • Untuk mengelakkan pembentukan batu karang, digalakkan untuk minum dua gelas air selepas setiap hidangan. Adalah penting untuk minum dua gelas air sebelum tidur dan satu gelas tambahan bila bangun tengah malam. Sekiranya anda perlu bangun beberapa kali pada waktu malam untuk buang air kecil, anda mungkin sudah minum berlebihan pada waktu siang dan malam.
Pengambilan cecair yang banyak adalah langkah paling mudah dan paling penting untuk pencegahan dan rawatan batu karang.

  • Pengambilan cecair yang lebih tinggi dicadangkan bagi orang yang aktif fizikal pada hari-hari panas, kerana sejumlah besar air hilang melalui peluh.
  • Pengambilan cecair seperti air kelapa, barli atau air padi, dan cecair kaya dengan citrate seperti air limau dan jus nanas, membantu meningkatkan jumlah pengambilan cecair dan pencegahan batu.

Cecair manakah yang lebih baik untuk mencegah batu buah pinggang?

Pengambilan cecair seperti air kelapa, barli atau air padi dan cecair kaya dengan citrate seperti air limau, jus tomato atau jus buah nanas membantu dalam pencegahan batu. Tetapi ingat bahawa sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah pengambilan cecair mestilah air.

Cecair manakah yang harus dielakkan oleh seseorang yang mempunyai batu buah pinggang?

Elakkan limau gedang, kranberi dan jus epal; teh pekat, kopi, coklat dan minuman manis bergas seperti colas; dan semua minuman beralkohol, termasuk bir. Minuman-minuman ini dikaitkan dengan peningkatan risiko pembentukan batu.

Air kencing seperti air, bersih dan jernih menunjukkan pengambilan cecair yang mencukupi.

2. Pengurang pengambilam garam

Elakkan pengambilan garam yang berlebihan dalam diet. Elakkan jeruk, kerepek dan makanan ringan masin. Kuantiti garam atau sodium yang berlebihan dalam diet boleh meningkatkan peningkatan kalsium didalam air kencing dan dengan itu meningkatkan risiko pembentukan batu kalsium. Pengambilan natrium perlu dihadkan tidak melebihi 100 mEq atau 6 gram garam meja sehari untuk mencegah pembentukan batu.

3. Kurangkan pengambilan protein haiwan

Elakkan makanan bukan vegetarian seperti daging kambing, ayam, ikan dan telur. Makanan haiwan ini mengandungi asid urik / purin yang tinggi dan boleh meningkatkan risiko asid batu karang urik dan kalsium.

4. Diet seimbang

Makan makanan seimbang dengan lebih banyak sayuran dan buah-buahan yang mengurangkan beban asid dan menjadikan air kencing kurang berasid. Makan buah-buahan seperti pisang, nanas, blueberry, ceri, dan oren. Makan sayur seperti lobak, labu pahit (karela-ampalaya), labu dan lada benggala. Makan makanan berserat tinggi seperti barli, kacang, oat, dan benih psyllium. Elakkan atau mengurangkan makanan seperti roti putih, pasta, dan gula. Batu buah pinggang dikaitkan dengan pengambilan gula tinggi.

5. Nasihat lain

Hadkan pengambilan vitamin C supaya tidak melebihi 1000 mg sehari. Elakkan makan banyak lewat malam. Obesiti adalah faktor risiko untuk pembentukan batu karang.

Langkah-langkah khas

1. Untuk mencegah batu karang kalsium

  • Diet: Ia adalah konsep yang salah bahawa kalsium harus dielakkan oleh pesakit yang mempunyai batu karang. Makan makanan yang sihat dengan kalsium, termasuk produk tenusu, untuk mencegah pembentukan batu. Kalsium dalam diet mengikat dengan oxalate dalam usus dan mengehadkan penyerapan oxalate usus dan seterusnya mengurangkan pembentukan batu karang. Sebaliknya, apabila kalsium diet dikurangkan, oksalat yang tidak terikat dalam usus boleh diserap dengan mudah dari usus untuk mempromosikan pembentukan batu oksalat.
  • Elakkan pengambilan supplemen kalsium serta diet yang rendah kalsium, kerana kedua-dua meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Sumber makanan kalsium seperti produk tenusu adalah lebih baik daripada suplemen kalsium oral untuk pesakit berisiko untuk pembentukan batu karang. Jika suplemen kalsium oral diperlukan, mereka harus diambil bersama makanan untuk mengurangkan risiko.
Sekatan pengambilan garam dalam diet sangat penting untuk mencegah batu karang kalsium

  • Ubat: Diuretik thiazide membantu dalam pencegahan batu kalsium kerana ia menghadkan ekresi kalsium dalam air kencing. Excretion

2. Untuk mencegah batu karang oksalat

Pesakit dengan batu kalsium oksalat harus mengurangkan makanan kaya dengan oksalat.

Makanan yang kaya dengan oksalat termasuk:

  • Sayur-sayuran: bayam, rhubarb, kacang bendi, bit dan ubi keledek.
  • Buah-buahan dan buah-buahan kering: strawberi, raspberi, chiku, amla, epal kastard, anggur, kacang gajus, kacang tanah, badam dan buah ara kering.
  • Makanan lain: lada benggala, kek buah-buahan, marmalade, coklat gelap, mentega kacang, makanan kacang soya dan koko.
  • Minuman: jus limau gedang, kolas gelap, dan teh hitam atau tea pekat.

3. Untuk mencegah batu karang asid urik

  • Elakkan semua minuman beralkohol.
  • Elakkan makanan yang tinggi dalam protein haiwan seperti organ dalaman (misalnya sebagai otak, hati, buah pinggang ), ikan terutamanya yang tiada skala (contohnya ikan bilis, ikan sardin, herring, ikan salmon), babi, ayam, daging dan telur.
  • Hadkan sayuran kekacang seperti kacang atau kacang tanah; sayuran seperti cendawan, bayam, asparagus dan kembang kol.
  • Hadkan makanan berlemak seperti salad dressing, ais krim dan makanan bergoreng.
  • Ubat: Allopurinol untuk menghalang sintesis asid urik dan mengurangkan perkumuhan asid urik melalui urin. Kalium sitrat untuk mengekalkan alkali air kencing; kerana asid urik presipitat dan membentuk batu dalam air kencing berasid.
  • Langkah-langkah lain: pengurangan berat badan. Pesakit obese tidak dapat mengalkali air kencing dan ini meningkatkan risiko pembentukan batu asid urik.
Amaran. Sekatan kalsium dalam diet akan menggalakkan pembentukan batu karang

Rawatan

Rawatan batu karang

Faktor-faktor yang menentukan rawatan batu karang pinggang bergantung pada tahap gejala, saiz, kedudukan dan penyebab batu karang; dan kehadiran atau ketiadaan jangkitan kencing dan halangan . Dua pilihan rawatan utama ialah:

A. rawatan konservatif

B. rawatan pembedahan

A. Rawatan Konservatif

Kebanyakan batu buah pinggang adalah kecil (kurang daripada 5 mm diameter) dan boleh sendiri keluar dalam tempoh 3 hingga 6 minggu dari permulaan gejala. Tujuan rawatan konservatif adalah melegakan simptom dan membantu pengeluaran batu tanpa pembedahan.

Rawatan segera terhadap batu karang

Untuk kesakitan yang teruk, pesakit mungkin memerlukan suntikan intramuskular atau intravena ubat radang bukan steroid (NSAIDs) atau opioid. Untuk kesakitan yang teruk, ubat oral sering kurang berkesan.

Banyak pengambilan cecair

Pada pesakit yang mengalami kesakitan teruk, pengambilan cecair perlu sederhana dan tidak berlebihan kerana ia boleh memburukkan lagi kesakitan. Tetapi dalam masa tiada kesakitan, minum banyak cecair, mengambil sebanyak 2 hingga 3 liter air sehari. Ingat bahawa bir BUKAN ejen terapeutik untuk pesakit dengan batu karang.

Pesakit yang mengalami sakit kolik yang teruk dengan loya, muntah dan demam mungkin memerlukan infusi intravena untuk membetulkan defisit cecair. Pesakit mesti menyimpan batu yang terkencing keluar untuk ujian. Cara mudah untuk mengumpul batu-batu yang terkencing keluar adalah membuang air kencing melalui penyaring.

Pengambilan cecair yang banyak akan mengeluarkan sebilangan besar batu kecil dalam air kencing

Langkah-langkah lain

Mengekalkan pH air kencing yang betul adalah penting terutamanya bagi pesakit yang mempunyai batu karang asid urik. Ubat seperti “calcium channel blocker” dan “apha blocker” menghalang spasm ureter dan melebarkan ureter secukupnya untuk membolehkan laluan batu ureter. Ini amat berguna apabila batu karang berada di dalam ureter yang berhampiran dengan pundi kencing. Rawati masalah yang berkaitan seperti mual, muntah dan jangkitan saluran kencing. Ikuti semua langkah pencegahan am dan khas (nasihat pemakanan, ubat dsb) yang dibincangkan.

B. Rawatan Pembedahan

Beberapa jenis pembedahan boleh diguna to penyakit batu karang yang tidak boleh dirawat dengan rawatan konservatif. Kaedah pembedahan yang paling kerap digunakan adalah extra-corporeal shock wave lithotripsy (ESWL), percutaneous nephrolithotripsy (PCNL), ureteroscopy dan jarang sekali pembedahan terbuka. Teknik-teknik ini menkomplemenkan satu sama lain. Prosedur ini dilakukan oleh pakar urologi yang memutuskan kaedah mana yang terbaik untuk pesakit tertentu.

Batu karang akan berulang pada lebih daripada 50% kes. Arahan untuk pencegahan perlu ditegaskan.

Kebanyakan pesakit yang mempunyai batu kecil boleh dirawat secara konservatif dengan berjaya. Tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan batu karang apabila batu:

  • Menyebabkan kesakitan berulang atau teruk dan tidak keluar sendiri pada tempoh masa yang munasabah.
  • Adalah terlalu besar untuk keluar sendiri. Batu> 6 mm mungkin memerlukan pembedahan.
  • Menyebabkan halangan saluran air kencing yang serius, menghalang aliran air kencing dan merosakkan buah pinggang.
  • Menyebabkan jangkitan saluran kencing berulang atau pendarahan. Pembedahan segera mungkin diperlukan pada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kerana batu menghalang satu-satunya buah pinggang berfungsi atau kedua-dua buah pinggang pada masa yang sama.

1. ESWL - Extra-Corporeal Shockwave Lithotripsy

“Extra-Corporeal Shockwave Lithotripsy” adalah rawatan terkini, berkesan dan paling kerap digunakan untuk batu karang. Lithotripsi sangat sesuai untuk batu karang bersaiz kurang daripada 1.5 cm atau batu karang di bahagian atas ureter. Dalam lithotripsi gelombang kejutan tertumpu atau gelombang ultrasonik yang dihasilkan oleh mesin lithotriptor memecah batu karang. Batu karang dipecahkan kepada zarah-zarah kecil dan mudah melalui saluran kencing dalam air kencing. Selepas lithotripsi, pesakit dinasihatkan untuk minum banyak cecair untuk mengeluarkan serpihan batu. Apabila penghalangan ureter dijangka akan berlaku selepas lithotripsi batu karang besar, "stent" (tiub plastik lembut khas) diletakkan di dalam ureter untuk mengelakkan penyumbatan. Lithotripsi umumnya selamat. Komplikasi lithotripsi adalah darah dalam air kencing, jangkitan saluran kencing, penyingkiran batu yang tidak lengkap (mungkin memerlukan lebih banyak sesi), pemecahan batu yang tidak lengkap (yang boleh menyebabkan halangan saluran kencing), merosakkan buah pinggang dan peningkatan tekanan darah. Kelebihan lithotripsi adalah bahawa ia adalah kaedah yang selamat yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital, anestesia dan pembedahan. Perasaan sakit adalah minimum dengan kaedah ini dan sesuai untuk semua umur. Lithotripsi kurang berkesan untuk batu yang besar dan pesakit obese. Lithotripsi juga tidak digalakkan semasa kehamilan dan pada pesakit dengan jangkitan kuman yang teruk, hipertensi yang tidak terkawal, halangan saluran kencing bahagian bawah dan masalah koagulasi atau pendarahan. Selepas lithotripsi, pemeriksaan berkala dan pematuhan ketat terhadap langkah pencegahan terhadap penyakit batu karang berulang, adalah wajib.

Lithotripsy adalah rawatan bukan pembedahan yang berkesan dan paling kerap digunakan untuk batu karang.

2. Percutaneous Nephrolithotomy (PCNL)

Percutaneous nephrolithotomy, atau PCNL, adalah kaedah yang berkesan untuk mengeluarkan buah karang bersaiz sederhana atau besar (lebih besar daripada 1.5 cm) di buah pinggang atau ureter. PCNL adalah pilihan paling kerap digunakan apabila modaliti rawatan lain seperti ureteroscopi atau lithotripsi telah gagal. Dalam prosedur ini, di bawah bius umum, pakar urologi membuat pembedahan kecil di bahagian belakang dan membuat saluran kecil dari kulit ke buah pinggang di bawah imej intensifier atau kawalan sonografi. Untuk memasukkan alatan, saluran itu diperbesarkan. Dengan menggunakan alat yang dipanggil nefroskop, pakar urologi akan membuang batu (nephrolithotomy). Jika batu itu besar, ia akan dipecahkan denagn menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi sebelum serpihan batu dikeluarkan (nephrolithotripsy). PCNL selamat serta sesuai untuk batu karang yang besar, tetapi terdapat beberapa risiko dan komplikasi yang boleh timbul seperti mana-mana rawatan pembedahan. Komplikasi PCNL yang mungkin adalah pendarahan, jangkitan, kecederaan pada organ abdomen lain seperti kolon, kebocoran air kencing dan hydrothorax. Kelebihan utama PCNL ialah hanya satu potongan kecil (kira-kira satu sentimeter) yang diperlukan. Untuk semua jenis batu, PCNL adalah modaliti yang paling berkesan untuk mengeluarkan semua batu karang sekaligus. Dengan PCNL, penginapan hospital adalah lebih pendek dan pemulihan dan penyembuhan adalah lebih cepat.

PCNL adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengeluarkan batu buah karang yang bersaiz sederhana atau besar.

3. Ureteroskopi (URS)

Ureteroskopi adalah modaliti yang sangat baik untuk merawat batu karang yang terdapat pada ureter pertengahan dan bawah. Di bawah anestesia, tiub fleksibel nipis (ureteroscope) yang dilengkapi dengan kamera dimasukkan melalui uretra ke pundi kencing dan sehingga ureter. Batu itu dilihat melalui ureteroskop dan, bergantung kepada saiz batu dan diameter ureter, batu itu boleh dipecah dan/atau dikeluarkan. Sekiranya batu ureterik kecil, ia digenggam oleh alat dan dikeluarkan. Jika batu terlalu besar untuk dikeluarkan sekaligus, ia boleh dipecah menjadi serpihan kecil dengan menggunakan lithotripsy pneumatik. Sepihan-sepihan kecil ini akan keluar melalui urin dengan sendiri. Pesakit biasanya pulang ke rumah pada hari yang sama dan boleh menyambung semula aktiviti normal dalam masa dua hingga tiga hari. Kelebihan URS adalah ia dapat memecahkan batu karang yang keras, dan memerlukan potongan kulit. Ia selamat untuk wanita hamil, orang gemuk, serta mereka yang mengalami masalah pendarahan. URS pada umumnya selamat, tetapi, seperti mana-mana prosedur, ada risiko. Komplikasi yang mungkin berlaku dari URS adalah darah dalam air kencing, jangkitan saluran kencing, perforasi ureter, dan pembentukan tisu parut yang menyempitkan diameter ureter (ureteral stricture).

Batu karang di pertengahan dan di bahagian bawah ureter boleh berjaya dikeluarkan dengan ureteroskopi tanpa pembedahan.

4.Pembedahan Terbuka

Pembedahan terbuka adalah modaliti rawatan bagi batu karang yang paling invasif dan sakit yang memerlukan lima hingga tujuh hari rawatan di hospital. Dengan adanya teknologi baru, keperluan pembedahan terbuka telah berkurangkan secara drastik. Pada masa ini, pembedahan terbuka digunakan hanya dalam keadaan yang sangat jarang untuk kes-kes yang rumit dengan beban batu yang sangat besar. Manfaat utama pembedahan terbuka adalah penyingkiran lengkap bagi batu yang sangat besar atau batu-batu staghorn dalam satu pembedahan. Pembedahan terbuka adalah modaliti rawatan yang cekap dan kos efektif terutamanya bagi negara-negara membangun di mana sumber adalah terhad.

Bilakah pesakit dengan batu buah pinggang perlu berunding dengan doktor?

Seorang pesakit dengan batu buah pinggang hendaklah segera berjumpa doktor sekiranya:

  • Kesakitan yang teruk di abdomen yang tidak lega dengan ubat.
  • Loya atau muntah yang menghalang pengambilan cecair dan ubat.
  • Demam, menggigil dan kepedihan semasa kencing.
  • Darah di dalam air kencing.
  • Tiada pengeluaran air kencing.
Pembedahan terbuka hanya dikhaskan untuk pesakit dengan batu karang yang sangat besar atau apabila modaliti lain telah gagal.